Editor S'wak Report disoal siasat di Bukit Aman
Editor portal Sarawak Report, Clare-Rewcastle Brown disoal siasat di ibu pejabat polis Bukit Aman dipercayai berhubung saman fitnah yang dikenakan ke atasnya oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Peguam Americk Singh Sidhu yang mewakili Clare dalam saman berkenaan berkata dia baru saja disoal siasat polis tanpa kehadiran peguam.
"Dia akan selesai disoal siasat dalam tempoh lebih kurang sejam, dan akan bercakap kepada media selepas itu.
"Ini peluang untuk media ke Bukit Aman dan dengar apa yang dia mahu katakan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Dua bulan lalu Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman ke atas Claire dengan dakwaan memfitnah berhubung kenyataan pada buku The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Exposé yang ditulis Clare.
Kenyataan itu, yang merupakan sebahagian daripada prolog buku berkenaan bertulis: "Jho Low juga merupakan berkawan dengan tokoh di Terengganu, isteri sultan, yang persetujuannya diperlukan bagi menubuhkan dana itu dan kemudian memetik sokongan baginda sebagai penting dalam mendapatkan jawatan sebagai penasihat".
Peguam Mohd Haazir Pillay Abdullah yang mewakili SUltanah Terengganu menuntut Claire sebagai penulis buku, penerbit Gerakbuaya Enterprise dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd mengeluarkan permohonan maaf secara bertulis serta ganti rugi RM100 juta daripada setiap mereka berhubung kenyataan fitnah dalam buku berkenaan.
Sarawak Report sebelum ini tampil menjelaskan bahawa perenggan berkenaan tidak sama sekali menuduh Sultanah Terengganu terlibat dalam skandal 1MDB atau ahli perniagaan Jho Low.

