Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata hasrat kerajaan untuk meminda dan bukannya memansuhkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2018 tidak bercanggah dengan pendiriannya.

Anwar yang mempunyai kes mencabar Akta MKN di mahkamah berkata, yang penting adalah bentuk akhir undang-undang itu selepas dipinda.

"Kita perlu lihat peruntukan yang akan dipinda.

"Saya tak fikir ia bercanggah (dengan pendirian saya). Saya kata mansuh atau pinda agar ia sesuai sebagai undang-undang," katanya kepada pemberita selepas program di Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Rabu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda dan bukannya menghapuskan Akta MKN.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan rayanya berjanji untuk memansuhkan akta berkenaan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata kerajaan sedang mengambil kira maklum balas dan akan hanya membuat keputusan selepas ia dikaji.

Kes Anwar yang mencabar Akta MKN akan didengarkan di Mahkamah Persekutuan 27 Feb tahun depan.

Akta MKN ketika ini membenarkan perdana menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan, dengan perintah berkurung akan dikuatkuasakan.

Pasukan keselamatan juga boleh menangkap sesiapa sahaja yang didakwa melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, tanpa memerlukan waran.

[Baca berita asal]