Harta saya RM82 juta, bukan RM75 juta - Ngeh
Anggota Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menjelaskan harta yang diisytiharkan beliau adalah RM82 juta dan bukan RM75 juta seperti dilaporkan.
Menurut pemimpin DAP itu, RM80 juta diisytiharkan di atas nama beliau manakala RM2 juta lagi atas nama isteri dan anak, lapor Astro Awani.
Bagaimanapun, katanya jumlah itu mungkin meningkat beberapa juta kerana terdapat beberapa aset yang belum dinilai, termasuk insuran dan syarikat guamannya yang diserahkan kepada rakan kongsi.
Ngeh mendakwa harta yang dikumpul itu bersih kerana beliau tidak terlibat dengan rasuah, termasuk sepanjang 32 tahun sebagai peguam.
“Tiada apa yang hendak dibanggakan, saya masih gunting rambut RM6 di kedai India di bawah pejabat saya dan jika ada masa, saya pergi salon dengan bayaran RM15.
“Saya bersyukur kerana tuhan sangat baik dengan saya,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Berdasarkan jumlah yang dipaparkan pada portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penasihat DAP Perak itu merekodkan jumlah pengisytiharan harta tertinggi berjumlah RM75,816,184.00.
Portal SPRM perlu diperbaiki
Sementara itu, Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara dokumen pengisytiharan itu dikemukakan.
"Laman pengisytiharan aset SPRM perlu diperbaiki. Pendedahan aset tanpa menyatakan liabiliti kami, tiada butiran aset, sesetengahnya dikemas kini dan sesetengah tidak - adalah tidak masuk akal. Kami telah mengemukakan semua butiran itu kepada SPRM, "katanya.
Ketika ini, seramai 25 menteri dan timbalan menteri, serta 13 wakil rakyat PH masih belum mengisytiharkan aset mereka.
Mereka termasuk Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong dan P Waythamoorthy, Menteri Luar Saifuddin Abdullah serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Mohamaddin Ketapi.
Laman web itu juga tidak mengandungi butiran mengenai aset anak lelaki Mahathir, Mukhriz yang juga menteri besar Kedah. Bagaimanapun, laman web tersebut ada menyenaraikan pendapatan bulanan para pemimpin berknaan.
Mereka yang masih belum mengisytiharkan pendapatan atau aset mereka termasuk Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Shaharuddin Md Salleh, Presiden Warisan Shafie Apdal dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

