Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sami dakwa dilarang masuk parlimen kerana berpakaian Hindu

Seorang Sami Hindu hari ini menyatakan rasa kesal selepas mendakwa dihalang memasuki parlimen kerana berpakaian agama Hindu.

Ramaji, yang juga Pengerusi Badan Bertindak Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman mendakwa dihalang masuk kira-kira jam 5.50 petang semalam ketika ingin menghadiri perjumpaan bersama Menteri Perpaduan, P Waythamoorthy berhubung isu kuil.

"Ketika saya memberi MyKad untuk pemeriksaan, seorang polis bantuan mendekati kereta saya dan memberitahu bahawa saya tidak boleh masuk ke dalam (parlimen) kerana berpakaian 'Kaavi' iaitu pakaian agama Hindu dan ia tidak mematuhi kod etika pakaian di Parlimen.

"Ketika saya mempersoalkan kepadanya, kenapa pakaian agama Hindu dilarang sedangkan pakaian agama lain dibenarkan, beliau cuba mengalihkan isu dengan memberitahu bahawa beliau perlu memeriksa adakah nama saya dalam senarai nama yang diberikan oleh menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Ramaji turut mendedahkan ini kali pertama beliau dihalang masuk ke parlimen, sedangkan aktivis Hindraf pernah mengadakan beberapa perjumpaan dengan bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi di parlimen.

"Semasa era Pak Lah, saya pernah menghadiri ke parlimen, tetapi tidak pernah dihalang. Inilah kali pertama," tegasnya lagi.

Ramaji turut merakamkan rasa kecewa terhadap Waythamoorthy selaku menteri perpaduan yang tidak campur tangan untuk membenarkan beliau memasuki parlimen.

"Malah salah seorang pegawai khas Waytamoorthy memberitahu saya bahawa Waythamoorthy mencadangkan perjumpaan ini ditukar ke tempat lain selepas saya tidak dibenarkan masuk.

"Inilah sikap menteri yang kononnya nak memperjuangkan hak-hak kita. Tetapi, tidak berani membawa saya masuk ke parlimen," ujar Ramaji lagi.

Ramaji merupakan seorang sami Hindu yang berpakaian 'Kaavi' merupakan satu pakaian suci mengikut kepercayaan agama Hindu. 

Malaysiakini sedang menghubungi pihak parlimen dan Waythamoorthy untuk mendapatkan maklum balas.

Lihat Komen
ADS