Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kamu sibuk apasal, apa masalah?'
Diterbitkan:  Nov 23, 2018 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim dilapor melenting apabila wartawan mengajukan soalan berhubung kemelut PKR Sarawak.

Berita Harian melaporkan bakal pengganti perdana menteri itu kelihatan marah dan nadanya bertukar tinggi apabila memberitahu wartawan supaya tidak menyibuk mengenai isu perebutan jawatan pengerusi parti di negeri itu.

“Kamu sibuk apasal (kenapa)? Apa masalah?

“Kenapa tak tanya (hal) Pengerusi Selangor? Kenapa tak (Pengerusi) Pulau Pinang? Perlis,” katanya kepada pemberita selepas memberi Syarahan Za’ba 2018 bertajuk Melayu dan Islam Dalam Era Malaysia Baharu di Dewan Semarak Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa PKR Sarawak kini berhadapan kemelut baru bagi menentukan siapa pengerusinya yang baru sama ada Anggota Parlimen Selangau, Baru Bian (foto) atau pun Anggota Parlimen Julau, Larry Sng.

Ketika ini, Pengerusi PKR Sarawak disandang oleh Baru Bian.

Mengulas kemelut berkenaan, Anwar berkata, masalah itu akan dirujuk perlembagaan parti sebelum keputusan dibuat.

“Kita ikut perlembagaan. Benda ini tak bangkit pun. Hanya dibangkitkan media. Ada satu, dua orang itu (di peringkat cabang yang mempertikai) itu biasalah,” katanya.

Mengenai ketidakhadiran Baru dalam Kongres Nasional PKR baru-baru, Anwar berkata beliau akan menasihati menteri kerja raya itu supaya memberi keutamaan program yang perlu dihadiri.

“Ya, sudah semestinya saya akan nasihat beliau supaya pada masa akan datang perlu pastikan apa keutamaan yang perlu didahulukan.

“Beliau ada beri penjelasan. Tetapi saya bimbang apabila setiap menteri beri alasan berkenaan (hadir program kementerian), tiada siapa akan hadir ke kongres PKR,” katanya.

Lihat Komen
ADS