Khairy tuntut Saifuddin letak jawatan
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menuntut menteri luar meletak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab atas tindakannya memberi komitmen ke atas Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (Icerd).
Kata Khairy apa yang dilakukan Saifuddin Abdullah itu adalah sesuatu yang memalukan.
"Menteri luar perlu mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan.
"Ini bukan kesilapan kecil. Komitmen (untuk mengiktiraf Icerd) dibuat dalam ucapan perdana menteri di UNGA (Perhimpunan Agung PBB), bukan ceramah kampung," katanya melalui ciapan di Twitter petang ini.
Kenyataan Khairy itu dibuat sejurus selepas Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menyatakan Malaysia tidak akan mengiktiraf Icerd.
Menurut kenyataan itu Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahankan kerana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.
Menurut Khairy, Saifuddin dan Kementerian Luar melakukan kesilapan besar apabila tidak meneliti Icerd dengan sewajarnya sebelum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan mengenainya di PBB baru-baru ini.
Bekas menteri itu juga menegaskan keputusan kerajaan untuk akhirnya tidak menerima Icerd itu mengaibkan negara.
"Langkah ke belakang yang memalukan, tetapi perlu," ciapnya lagi.
Menjawab ciapan orang lain Khairy menjelaskan Saifuddin "terlajak" apabila memberi komitmen mengenai Icerd itu.
"Menteri luar kena ambil tanggungjawab sebab terlajak buat komitmen untuk melaksanakan perkara yang memang takkan dapat sokongan majoriti rakyat.
"Beliau tidak memikirkan hal ini," katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Saifuddin berhubung kenyataan Khairy berkenaan.

