Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengingatkan masyarakat Cina supaya berhati-hati terhadap golongan pelampau yang menghasut orang Melayu menggunakan isu pengiktirafan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Dalam suatu wawancara bersama akhbar berbahasa Cina, Lim mendakwa terdapat parti politik dan beberapa individu dengan niat jahat telah memainkan sentimen masyarakat Melayu menggunakan isu Icerd.

Menurut Lim, sentimen itu bertujuan mengerahkan kehadiran orang ramai dalam perhimpunan anjuran bersama PAS dan Umno bagi membantah konvensyen PBB itu pada 8 Disember ini.

"Walaupun kerajaan tidak akan menghentikan perhimpunan itu, sesuatu perhimpunan itu perlu dijalankan secara aman dan tidak patut berasaskan pembohongan," katanya.

Beliau memaklumkan sesetengah pihak cuba menghubungkan Icerd dengan nasib dan masa depan kelangsungan hidup masyarakat Melayu di negara ini walaupun ia tidak ada kaitan.

Lindungi kedudukan politik

"Malahan kami tertanya-tanya kenapa isu ini tiba-tiba muncul entah dari mana kerana ia bukan isu ketika pilihanraya umum ke-14 lalu," katanya.

Lim mendakwa beliau sedar orang Melayu dihasut selepas sebuah video menuduh beliau mengalihkan dana peruntukan pelajar Melayu kepada kuil telah menjadi tular.

"Seseorang dengan niat jahat memainkan isu-isu ini (Icerd dan hal-hal perkauman) bagi melindungi kedudukan politiknya.

"Ada pihak yang tidak dapat membuang label rasuah dan ada pihak yang mahu menutup kegagalannya dalam menguruskan kewangan, jadi mereka memainkan sentimen pelampau untuk mengalihkan perhatian," katanya tanpa menamakan mana-mana pihak.

Justeru, bekas ketua menteri Pulau Pinang itu menasihatkan orang Cina supaya memahami perkembangan dalam masyarakat Melayu ini.

"Oleh yang demikian, orang Cina perlu memahami perkembangan dan perubahan di dalam masyarakat Melayu... mereka perlu berhati-hati sehinggalah selepas (perhimpunan) 8 Disember ini.

"Walaupun (perhimpunan itu) tidak disasarkan secara langsung kepada masyarakat Cina tetapi kami perlu berhati-hati... kerana apabila dikatakan ini isu penerusan kelangsungan hidup (Melayu) maka komuniti lain juga akan menjadi sasaran juga," katanya.

Beliau berkata keadaan perlu diredakan tetapi tidak menghalang sesiapa pun daripada terus menyuarakan pandangan mengenai Icerd.

Penganjur perhimpunan membantah Icerd yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini menjangkakan kehadiran 500,000 peserta.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan menjelaskan pendirian kerajaan untuk tidak meratifikiasi Icerd.

Dalam mesyuarat kabinet, Lim berkata jemaah menteri membuat keputusan mengenai Icerd berdasarkan persetujuan bersama selepas mendengar semua pandangan.

Setiausaha Agung DAP itu tidak menjawab ketika ditanya pendirian parti itu mengenai Icerd.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS