Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis soal siasat editor Sarawak Report selama 3 jam

Polis Bukit Aman menyoal siasat Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown selama lebih tiga jam berkaitan bukunya mengenai 1MDB, The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Exposé. 

Ini susulan laporan polis dibuat pihak istana Terengganu berkaitan bahagian prolog buku itu yang mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Jho Low merupakan kenalan kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah:

"Jho was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position."

(Jho juga mesra dengan orang-orang penting di Terengganu, permaisuri sultan, yang mana persetujuan baginda diperlukan untuk menubuhkan dana tersebut dan kemudiannya dia memetik sokongan (sultanah) sebagai penting untuk mendapatkan jawatan penasihat.)

Rewcastle-Brown, yang ditemui di luar ibu pejabat polis Bukit Aman kira-kira jam 4 petang hari ini juga berkata peguam Sultanah telah memfailkan saman sivil terhadap beliau dan pengedar bukunya.

Sarawak Report menjelaskan kenyataan itu tidak semestinya mencadangkan sultanah terlibat sama ada dalam skandal 1MDB atau dengan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, yang didakwa menjadi dalang dalam penyelewengan syarikat pelaburan negara itu.

"Saya fikir 13 orang sudah ditemu bual pihak polis. Saya menghubungi polis dari UK dan bertanya kepada mereka apa yang sedang berlaku? Mengapa orang-orang yang saya tinggal bersama dan orang-orang yang menganjurkan acara untuk saya, mengapa mereka juga disoal?

"Saya dimaklumkan terdapat kes yang dibuka terhadap saya dan saya sedang disiasat," katanya.

Clare juga menjelaskan beliau terbang ke Malaysia untuk membantu memudahkan siasatan berhubung perkara itu selepas mengetahui bahawa rakannya telah disoal siasat pihak polis.

"Nampaknya mereka (polis) cuba menghubungi saya tetapi tidak pernah berjaya.

"Jadi saya menghubungi polis .. Saya berkata saya gembira untuk datang dan menjelaskan," katanya.

Beliau berkata temu bual itu, yang bermula kira-kira jam 11 pagi tadi berlangsung dalam keadaan yang menyenangkan dan berharap beliau telah menjelaskan segala-galanya kepada polis.

"Saya yakin dakwaan tersebut sangat tidak betul... menuduh saya mengatakan hal yang tidak saya sebutkan," katanya.

Bagaimanapun, Clare berkata beliau terkejut apabila polis memberitahu terdapat tiga kes berasingan terhadapnya yang belum ditutup sejak tahun 2015.

"Kes berkenaan mengenai dakwaan menyebarkan berita palsu, masing-masing pada 2015, 2016 dan 2018. Polis mahu saya kembali lagi untuk memberikan tiga kenyataan berasingan.

"Saya terkejut apabila saya menganggap bahawa kes-kes itu telah ditutup, bahawa saya tidak lagi disiasat kerana kenyataan saya mengenai 1MDB," katanya.

[Baca berita penuh]


NOTA PENGARANG: Terdahulu Malaysiakini melaporkan laporan polis dibuat peguam yang mewakili Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Kemudian dimaklumkan laporan tersebut dibuat oleh pihak istana Terengganu.

Lihat Komen
ADS