Anggota jawatankuasa kerajaan negeri Melaka, Norhizam Hassan Baktee mendakwa bahawa beberapa bekas exco kerajaan negeri BN terdahulu terpalit dalam skandal rasuah melibatkan kira-kira RM30 juta.

Bercakap kepada The Star, beliau mendedahkan bahawa wang itu asalnya bertujuan sebagai bayaran pampasan kepada 1,393 nelayan yang terjejas oleh kerja-kerja penambakan tanah.

Wang berkenaan dilaporkan dikumpul daripada kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja penambakan dan disalurkan kepada dana amanah pembangunan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri BN sebelum ini.

Norhizam mendakwa bahawa RM30 juta itu kini hilang.

"Kami hanya mempunyai rekod jumlah itu atas kertas, tetapi bukan wang tersebut," katanya kepada akhbar itu.

Semalam, beliau berjumpa dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya untuk menyerahkan tujuh fail yang mengandungi bukti dakwaannya. Salinan fail itu juga diserahkan kepada Peguam Negara Tommy Thomas.

Fail-fail itu memperincikan bagaimana tiga wakil rakyat semasa yang telah menyalahgunakan kuasa mereka dan memperkayakan diri masing-masing melalui skandal berkenaan semasa mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri BN sebelumnya.

13 Adun BN adalah Ismail Othman (Kuala Linggi), Mohd Rawi Mahmud (Tanjung Bidara), Amirudin Yusof (Ayer Limau), Sulaiman Md Ali (Lendu), Latipah Omar (Taboh Naning) (Asahan), Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kudor), Rahmad Mariman (Ayer Molek), Ghazale Muhamad (Rim), Zadi Attan (Serkam), Roslan Ahmad (Merlimau) dan Hasan Abdul Rahman (Sungai Rambai).

Idris adalah bekas ketua menteri Melaka manakala Ghafar, Latipah, Hasan dan Ismail semuanya adalah exco kerajaan negeri sebelum ini.

[Baca berita penuh]