GLOBAL l Pihak berkuasa India sedang menyiasat sama ada seorang pemuda Amerika Syarikat yang didakwa dibunuh oleh oleh satu suku kaum pemburu terpinggir di sebuah pulau terpencil, mungkin mendapat bantuan daripada lebih ramai orang daripada yang dijangkakan.

John Chau, 26, didakwa dibunuh pada 17 November lalu di Pulau Sentinel Utara, di rantaian Kepulauan Andaman dan Nicobar yang didiami suku kaum Neolithic yang dianggap sebagai suku pra-Neolitik terakhir di dunia. Menurut hantaran keluarga Chau di media sosial, dia adalah seorang mubaligh Kristian dan seorang pendaki.

Pulau itu adalah kawasan larangan dan adalah satu kesalahan untuk melawatnya. Tujuh orang yang disyaki membantu Chau sampai di pulau itu, termasuk beberapa nelayan, telah ditangkap.

Para nelayan memberitahu polis bahawa mereka melihat badan Chau diheret di pantai berkenaan dan dikebumikan di dalam pasir.

Polis kini menyiasat sama ada Chau mendapatkan bantuan orang lain untuk ke Sentinel Utara, kata Vijay Singh, penguasa kanan polis di kepulauan Andaman dan Nicobar, dalam satu kenyataan.

Menurut Singh, polis merancang untuk menyiasat "urutan kejadian, laluan laut yang diikuti" dan perkara-perkara lain.

Penduduk Sentinel adalah pemburu yang dilengkapi senjata seperti tombak primitif, busur dan anak panah serta dianggap sebagai suku pra-Neolitik terakhir di dunia.

Suku itu, yang dianggarkan hanya berjumlah puluhan orang, telah bertahun-tahun secara agresif menolak pertemuan dengan dunia luar.

Ahli antropologi pernah berhubungan secara ringkas dengan suku itu pada awal 1990-an, tetapi terpaksa melupakan usaha untuk mengkaji masyarakat berkenaan kerana bimbang bahawa hubungan dengan dunia luar mungkin menyebabkan kepupusan mereka.

Sentinel Utara, yang terletak 50 km (31 batu) dari barat Port Blair - ibu negara rantai pulau-pulau itu - dilindungi oleh undang-undang yang tidak membenarkan memancing di dalam lingkungan 5 batu nautika di pulau tersebut.

Undang-undang juga menghalang pelancongan atau merakamkan gambar orang Sentinel dan beberapa suku lain di kepulauan Andaman. Mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang itu berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

- Reuters

[Baca berita penuh]