GLOBAL l Tiga penyerang bunuh diri cuba menyerang pejabat konsulat China di Karachi hari ini, tetapi dibunuh sebelum mereka sempat memasuki bangunan itu, kata ketua polis di bandar itu.

Sekurang-kurangnya dua anggota polis terbunuh dalam serangan itu, yang didakwa dilakukan oleh Tentera Pembebasan Baloch (BLA), sebuah kumpulan pemberontak pemisah yang menentang projek-projek China di wilayah barat daya Baluchistan.

Semua kakitangan China di konsulat itu selamat, kata Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi dan Kementerian Luar China.

Kejadian itu adalah serangan paling menonjol di Pakistan terhadap China, jiran dan sekutu negara tersebut yang mencurahkan berbilion dollar ke Pakistan sebagai sebahagian daripada inisiatif Belt and Road.

Ia juga adalah operasi berprofil tinggi sejak bertahun-tahun oleh BLA, yang sebelum ini mencetuskan pemberontakan peringkat rendah di Baluchistan. Kumpulan itu juga menamakan diri mereka sebagai Tentera Pembebasan Baluchistan.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengarahkan siasatan segera, dengan pejabatnya melabel serangan berkenaan sebagai "sebahagian daripada konspirasi terhadap kerjasama ekonomi dan strategik Pakistan dan China".

[Baca berita penuh]