Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa para penggubal undang-udang negara supaya segera meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan intip dan hendap bagi menjadikan perbuatan itu sebagai satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, dan memperkenalkan perintah sekatan terhadap pelaku di bawah Kanun Acara Jenayah.

WAO dalam satu kenyataan berkata intip dan hendap ketika ini tidak dianggap sebagai satu jenayah di Malaysia, yang bermakna sekiranya seseorang itu berulang kali menghubungi, mengekori, atau muncul di tempat yang sering dikunjungi mangsa, pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa untuk melindungi mangsa.

"Banyak negara menggubal undang-undang membabitkan intip dan hendap ini hanya selepas berlaku kes-kes pembunuhan berprofil tinggi yang menggegarkan seluruh negara.

"Rakyat Malaysia pernah diintip, dihendap, malah akan ada antara mereka yang mungkin dibunuh atau dicacatkan akhirnya. Perlukah kita menunggu sehingga tercetus kes berprofil tinggi yang mengejutkan Malaysia untuk kita bertindak?” Soalnya.

Keganasan rumah tinggi

Menurutnya sudah tiba masanya Malaysia menyertai banyak negara lain yang memperluas takrif intip dan hendap sebagai satu jenayah. 

"Negara-negara ini termasuklah Singapura, Filipina, Jepun, Australia, New Zealand, United Kingdom, dan Amerika Syarikat," kata WAO.

Dalam laporan WAO pada 2013 yang mendokumenkan 34 kes keganasan rumah tangga, 26 peratus daripadanya melibatkan intip dan hendap.

Menurutnya jumlah itu konsisten dengan statistik di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, di mana sepertiga wanita yang mengalami keganasan rumahtangga turut mengalami intip dan hendap.

Keyataan itu juga berkata satu kajian oleh Universiti Sains Malaysia pada tahun 2014 pula menunjukkan bahawa sembilan peratus wanita di Semenanjung Malaysia yang pernah berpasangan, pernah juga mengalami keganasan daripada pasangan mereka, satu jumlah yang mewakili 900,000 wanita.

"Berdasarkan angka ini, besar kemungkinan bahawa kira-kira 250,000 mangsa keganasan rumahtanga di Malaysia juga pernah diintip dan dihendap oleh pasangan yang bertindak ganas terhadap mereka (26-33 peratus daripada 900,000 wanita),” menurutnya.

- Bernama