Lelaki maut lepas cucuh ibu mentua
Lelaki yang rentung dalam kebakaran rumahnya semalam dipercayai bertindak menyimpah petrol dan membakar ibu mertuanya sebelum kediamannya di Taman Cegar, Simpang Ampat di Nibong Tebal turut musnah dalam kebakaran.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata berdasarkan siasatan polis didapati lelaki berusia 52 tahun itu bertindak sedemikian ketika marah dan mabuk kira-kira jam jam 6.20 petang semalam.
"Lelaki itu yang berada di tingkat atas rumah turun dalam keadaan marah serta memaki-hamun isterinya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama anak perempuan dan ibu mentua suspek.
"Suspek kemudian keluar dari rumah, pergi ke bahagian depan rumah mengambil botol berisi petrol sebelum masuk semula dan menuju ke arah ibu mentuanya untuk menyimpah petrol ke badan wanita itu," katanya di Nibong Tebal hari ini.
Shafee berkata petrol itu turut terkena baju, tangan dan kaki isterinya.
Lelaki terbabit katanya kemudian mengambil pemetik api dan menyalakan sekeping kertas sebelum menghalakannya ke arah ibu mertuanya.
Menurut Shafee api itu menyambar ibu mertuanya, Aganasi Mary, 69, menyebabkan isteri suspek menjerit serta melarikan membawa wanita terbabit ke tandas bagi memadamkan api berkenaan.
Katanya isteri lelaki itu kemudian terdengar bunyi letupan di bahagian ruang tamu dan asap memenuhi bahagian dalam rumah mereka sebelum dia bertindak membawa ibu dan anak perempuannya keluar melalui pintu dapur.
"Ibu mertua suspek yang mengalami melecur 90 peratus dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya ke Hospital Pulau Pinang kerana dalam keadaan kritikil," katanya.
Beliau berkata mayat lelaki itu ditemukan pihak bomba dalam keadaan rentung dan terbaring di tingkat atas.
Ia kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat.
Kata Shafee polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
- Bernama

