Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Bhd Azman Hashim dilantik sebagai Procanselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa antara 1 Okt 2018 hingga 30 Sept 2021.

Pelantikan kedua-dua tokoh itu dibuat Kementerian Pendidikan dan diumumkan Naib Canselor UMS Prof Dr D Kamarudin D Mudin pada Majlis Konvokesyen UMS ke-20, di Kota Kinabalu hari ini.

Surat watikah pelantikan kepada kedua-dua procanselor UMS baru itu disampaikan Yang Dipertua Sabah Juhar Mahiruddin yang juga Canselor UMS di hadapan 793 graduan pada sidang pertama konvokesyen tersebut.

Terdahulu, ketika berucap Juhar mengucapkan tahniah kepada Mohd Shafie dan Azman atas pelantikan sebagai itu dan berharap dengan kepimpinan mereka dapat terus memacu kecemerlangan UMS.

“Semoga dengan kepimpinan mereka, UMS akan terus cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Juhar mengingatkan graduan supaya menjauhi sikap malas kerana ia menjadikan seseorang lemah serta gagal menyumbang tenaga dan kemajuan untuk diri sendiri, keluarga dan negara.

“Graduan adalah cerminan masa depan yang akan menjadi pewaris kepada kepimpinan sedia ada untuk meneruskan kegemilangan negeri dan negara tercinta.

“Apabila graduan mempunyai kerjaya, galas tanggungjawab dengan penuh amanah kerana Malaysia baru memerlukan tenaga segar, tangkas dan mantap selain negara juga sangat memerlukan tenaga kerja kreatif dan inovatif,” katanya.

Juhar juga mengingatkan graduan supaya terus mencari ruang dan peluang untuk memajukan diri selain menerapkan sikap merendah diri dan bersaing secara sihat tanpa ada perasaan iri hati.

Seramai 5,003 graduan akan menerima ijazah doktor falsafah; ijazah sarjana; ijazah sarjana muda; dan diploma pada majlis konvokesyen tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS