Keputusan pemilihan PKR masih 'misteri'
PEMILIHAN PKR | Keputusan akhir pemilihan kepemimpinan PKR masih belum diumumkan secara rasmi walaupun proses itu sudah berakhir dua minggu lalu.
Lazimnya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu memuat naik jumlah undi yang diterima bagi setiap calon mengikut cabang beberapa jam selepas proses mengundi selesai.
Namun keputusan bagi minggu terakhir pemilihan - yang diadakan pada 10 dan 11 Nov lalu - belum dikemas kini setakat berita ini ditulis.
Dipercayai jumlah undi yang diterima seseorang ahli sudah dimaklumkan kepada calon terbabit namun ia belum bersifat rasmi atau diumum kepada orang ramai.
Pemenang bagi jawatan utama PKR sudah diisytihar semasa kongres parti itu minggu lalu.
Tanpa keputusan sebenar untuk undian terakhir, kedudukan beberapa cabang di Sarawak yang melakukan undian semua tidak dapat dianalisis.
Sementara itu ketika dihubungi Pengerusi JPP Rashid Din berkata beliau sedar kelewatan berkenaan dan akan membuat langkah susulan mengenainya.
Ditanya mengenai hasil audit keputusan pemilihan Rashid berkata beliau tidak pasti sama ada ia sudah diselesaikan atau tidak.
Beliaujuga tidak dapat mengesahkan sama ada PKR akan mendedahkan kepada umum keputusan audit tersebut.
PKR mengadakan pemilihan bagi semua jawatan dalam parti itu sejak Sept lalu.
Tidak seperti parti lain di negara ini PKR memberi hak kepada semua ahli yang mencukup syarat untuk mengundi bagi memilih pemimpin dari peringkat cabang hingga ke pusat.
Proses itu berjalan selama beberapa minggu kerana dibuat bergilir-gilir mengikut negeri.
Malaysiakini cuba mengesan keputusan pemilihan itu dari seminggu ke seminggu melalui satu laman sesawang khas.
Bagaimanapun tanpa maklumat terkini keputusan tersebut tidak dapat disempurnakan.


