Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Siswa berarak tuntut pengerusi PTPTN 'munafik' berundur

Seramai 400 mahasiswa dari seluruh negara hari ini berarak ke Menara Perbadanan Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menuntut pengerusi tabung itu, Wan Saiful Wan Jan meletakkan jawatan.

Presiden, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata pihaknya membuat desakan itu berikutan Wan Saiful tidak melaksanakan janji dalam manifesto serta alasan yang diberikan pula sangat tidak munasabah.

“Tindakan PH ini lebih kejam berbanding apa yang dilakukan oleh Umno dan BN dahulu. Umno BN dulu berikan masa setahun kepada mahasiswa sebelum membuat pembayaran PTPTN.

“Tetapi apa yang dilakukan PH sangat menyedihkan, iaitu pada 2019 perlu dipotong (gaji untuk bayar PTPTN),” kata Muhammad dalam ucapannya di hadapan Menara PTPTN, hari ini.

Pada jam 2 petang tadi mereka berarak dari Masjid Jamek ke Menara PTPTN di Jalan Yap Kwan Seng dengan mengenakan baju hitam selain mengikat tali hitam di kepala sebagai tanda memprotes kerajaan.

Selain itu mereka turut membawa pelekat yang antara lain bertulis "Tuntut janji PTPTN" dan melaungkan "hidup mahasiswa", "bangkit mahasiswa" serta "tolak kezaliman" serta tidak ketinggalan mendesak Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik meletak jawatan.

Mereka tiba di hadapan menara tersebut pada jam 3.10 petang dengan kawalan anggota polis.

Faizzuddin melalui ucapannya berkata, mahasiswa Gamis seluruh negara akan ke pejabat PTPTN setiap negeri bagi menghantar memorandum supaya kerajaan tidak mengutip bayaran pinjaman sehingga gaji mencapai RM4,000.

“Sistem ini menekan orang miskin dan menguntungkan mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Kumpulan itu juga turut membuat upacara 'memotong' jari kelingking melalui sekeping gambar tangan sebagai simbolik kerjaaan PH mungkir janji berkaitan manifesto PRU14.

Sebelum majlis berakhir, mereka meninggalkan kesemua plakad yang dibawa termasuk patung yang diheret sejauh lebih 5 kilometer di hadapan pintu masuk menara tersebut.

“Biar Wan Saiful masuk kerja hari Isnin nampak barang-barang ini,” kata Muhammad Faizzuddin melalui pembesar suara.

Mereka bersurai pada jam 3.50 dalam keadaan aman.

Lihat Komen
ADS