Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir bukan lagi ketua Umno Terengganu mulai 2019
Diterbitkan:  Nov 24, 2018 3:58 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid hari ini mengumumkan beliau enggan terus menjadi pengerusi badan perhubungan parti itu untuk Terengganu.

Kata bekas menteri terbabit mulai tahun depan jawatan pengerusi Umno Terengganu akan disandang oleh orang lain yang terdiri daripada anak tempatan.

Mahdzir ialah anggota parlimen Padang Terap, Kedah.

Beliau memenangi jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan yang diadakan beberapa bulan lalu.

Selain Madhzir, dua lagi naib presiden Umno ialah Mohamed Khaled Nordin dan Ismail Sabri Yaakob.

Pemilihan itu dibuat selepas Umno gagal mendapat mandat untuk terus menjadi kerajaan pusat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Pada PRU ke-14 itu Umno hanya berjaya mengekalkan kuasa di Perlis dan Pahang, manakala PAS pula mempertahankan Kelantan selain mengambil alih pentadbiran Terengganu.

Lain lebih layak

Mohamed Khaled ialah bekas menteri besar Johor namun diberi tanggungjawab menjadi pengerusi perhubungan Umno Perlis oleh presiden parti Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail Sabri pula diberi kepercayaan mengetuai Umno Selangor.

Dipetik Sinar Online Mahdzir berkata nama pengganti beliau akan diketahui ramai tidak lama lagi.

"Nama pengganti akan diumumkan dalam masa terdekat selepas surat pelantikan ditandatangani presiden parti," katanya.

Khaled Nordin

Terdahulu Mahdzir mempengerusikan untuk kali terakhir mesyuarat Umno Terengganu di Kem Seri Keluang di Jertih.

Untuk rekod pada awal Ogos lalu Mahdzir pernah menyatakan hasratnya melepaskan jawatan berkenaan.

Kata Mahdzir tugas mengetuai Umno Terengganu lebih sesuai dipikul oleh orang tempatan yang lebih memahami suasana setempat.

“Saya tidak berhasrat jadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu negeri untuk tempoh yang lama.

"Saya cadang (serahkan jawatan) dalam masa terdekat ini, kita boleh serah kepada mereka yang lebih layak dan sesuai untuk teruskan perjuangan parti,” katanya dipetik Utusan Online.

Untuk rekod Umno Terengganu pernah bergolak dengan masalah dalaman membabitkan beberapa pemimpin parti terbabit.

Lihat Komen
ADS