Tiada lagi 'kabel', Zahid serah akar umbi pilih calon
Selepas hampir 'disapu bersih' di Wilayah Persekutuan, Umno akan menyerahkan soal pemilihan calon pilihan raya di kawasan itu kepada akar umbi parti.
Perkara itu dinyatakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini semasa program Turun Padang bersama Umno Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
"Itu sebab saya buat komitmen di depan semua pemimpin-pemimpin cawangan dan bahagian, PRU akan datang kita tak payahlah pakai konsultan-konsultan untuk pilih calon ni.
"Saya beri kuasa sepenuhnya kepada perhubungan Wilayah Persekutuan dan bahagian dan cawangan-cawangan untuk pilih siapa paling sesuai jadi calon.
"Nombor satu winnable, likeable, reliable dan keempat no kabel (cable)."
"Tu sebab saya beritahu kawan-kawan di kalangan Ketua-ketua bahagian dan ketua perhubungan negeri, beri peluang biar cawangan-cawangan tentukan siapa masuk tiga kriteria saya sebut tadi," katanya.
Pada pilihan raya umum lalu Pakatan Harapan (PH) hampir menyapu bersih kemenangan di Wilayah Persekutuan, dengan BN dan Umno hanya menguasai Putrajaya.
Dalam ucapannya, Zahid mengingatkan agar Umno Wilayah Persekutuan mula berkerja keras dalam mendapatkan sokongan, terutama jika mereka mahu parti itu bertanding lima kerusi parlimen yang sebelum ini diperuntukkan kepada parti komponen BN yang lain.
Beliau juga memberitahu anggota Umno bahawa mereka perlu mengubah strategi dengan menggunakan isu-isu melibatkan PH sebagai peluru kempen.
"Isu-isu banyak. Kita tak perlu buat apa-apa. Dulu mereka pembangkang mereka tak beri pembangunan, mereka lontar fitnah.
"Kita tak cadang kita bagi fitnah tapi terlalu banyak bola tanggung," katanya.

