Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Demo anti-Icerd gimik nakal
Diterbitkan:  Nov 25, 2018 1:28 AM
Dikemaskini: 5:28 PM

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata perhimpunan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak perlu diteruskan kerana kerajaan telah memuktamadkan untuk tidak meratifikasinya.

"Sebelum ini, kita pernah berhimpun menolak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), berhimpun untuk meminta pilihan raya yang bersih serta berhimpun untuk menolak kezaliman.

"Kalau nak berhimpun pun, biarlah di atas sebab yang munasabah sebab ini (perhimpunan) merupakan satu gimik politik nakal pihak pembangkang walaupun keputusan kerajaan telah menolak perkara berkenaan," katanya seperti dipetik Bernama.

Sebelum ini NGO dikenali sebagai Ummah yang disokong oleh Umno dan PAS, pada asalnya merancang untuk mengadakan perhimpunan itu pada 8 Disember bagi membantah Icerd.

Bagaimanapun, selepas kerajaan mengumumkan Icerd tidak akan dimeterai, kumpulan itu berkata ia akan meneruskan perhimpunan itu bagi menyatakan kesyukuran mereka.

Icerd menjadi isu yang hangat di Malaysia apabila parti politik pembangkang terutama PAS dan Umno serta NGO Melayu Islam menentangnya kerana didakwa bercanggah perlembagaan persekutuan, yang memperuntukkan keistimewaan kepada kaum Melayu dan bumiputera.

Lihat Komen
ADS