'Icerd: Melayu teras Malaysia, jika goyah negara tak stabil'
Rakyat perlu dingatkan bahawa orang Melayu adalah asas kepada negara ini dan jika tunjangnya goyah maka negara boleh menjadi tidak stabil, begitu amaran yang diberikan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhamad Zahid Md Arip.
Beliau mengulas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Muhammad Zahid berkata Malaysia mempunyai acuannya sendiri dalam mengekalkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan telah terbukti kejayaannya.
"Icerd ni bukan benda baru, wujud sejak 60-an, 30 tahun lebih dah. Tidak jadi masalah kita negara yang tak ratify.
"Kita ada acuan kita sendiri yang ternyata berjaya pun. Tapi negara kita maju, rakyat hidup aman damai, tak ada masalah.
"Apa pun semua rakyat Malaysia kena ingat bahawa asas negara ni adalah Melayu. Kalau asas ini goyah, goyah lah Malaysia," katanya kepada Malaysiakini.
Dr M lalui tekanan zaman Najib lagi hebat
Beliau juga menjelaskan tidak bersikap perkauman apabila mengutarakan hal ini.
"Bilangan jutawan, yang bukan Melayu lebih ramai dari Melayu. Saya cakap ni bukan perkauman.
"Kita menerima kaum-kaum lain di negara kita. Kita belajar hidup aman dan damai. Keresahan Melayu akan jadi ketidaktentuan dalam negara," katanya lagi.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan beg sekolah bersempena program balik sekolah di Setiawangsa, anjuran bersama Philip Morris Malaysia, Yayasan Salam Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Zahid yang juga cucu kepada bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba turut menjelaskan keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd dibuat atas kepentingan negara dan Dr Mahathir tidak menerima sebarang tekanan politik daripada mana-mana pihak.
"Tiada. Dr Mahathir kamu pun tahu, (pernah melalui) tekanan lagi hebat dari ini, semasa zaman Najib. Dr Mahathir orang yang yakin terhadap apa yang dia buat. Dia yakin pada diri dia sendiri.
"Sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman luas, seorang manusia yang capai umur 93 tahun, saya kira Dr Mahathir dah lasak dengan isu-isu sebegini.
"Sebab itu beliau tahu menilai yang mana baik atau buruk," ujarnya.

