Isu 'nasihat' Orang Asli: Najib bidas MB Perak
Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini membidas Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu susulan kenyataannya agar masyarakat Orang Asli menghentikan apa yang disifatkannya sebagai budaya meminta-minta.
"Pakatan Harapan (PH) bukan setakat gagal menunaikan janji manis mereka. Hari ini kerajaan yang berkuasa sudah mula menghina rakyat.
"Inilah yang berlaku apabila hanya undi yang dikejar dan tidak pernah ikhlas memahami keperluan rakyat dan komuniti Orang Asli," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Bernama Jumaat lalu, Faizal dilaporkan menggesa masyarakat itu berhenti meminta orang berkepentingan untuk membantu mereka, sebaliknya memulakan inisiatif sendiri untuk memajukan ekonomi ekonomi mereka.
Kerajaan negeri hanya kaan mempertimbang permohonan yang dipohon Orang Asli jika mereka memajukan tempat sendiri terlebih dulu, kata Faizal dalam satu program bersama komuniti itu.
Najib juga menyenaraikan bantuan yang diberikan oleh pentadbiran BN sebelum ini. Daripada 800 penempatan Orang Asli berdaftar, katanya, 720 daripada mempunyai akses, jalan, 660 diberi bekalan elektrik dan 701 mendapat bekalan air bersih.
Katanya, BN juga memberikan peluang pendidikan, seperti bantuan one off berjumlah RM3,000 kepada anak Orang Asli yang ke universiti, serta menaja mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) Ramesh Arumugam Chettiar menyifatkan kenyataan Faizal sebagai penghinaan kepada golongan Orang Asli.
"Jangan hina Orang Asli sebegini rupa. Persoalannya mengapa menteri besar buat kenyataan sebegini di saat PH menjanjikan 'Malaysia Baru'?" katanya dalam kenyataan.
Beliau mendakwa golongan itu tidak pernah meminta bantuan daripada kerajaan negeri, menekankan mereka "mempunyai maruah" sendiri.
Katanya lagi, kawasan DUN Faizal sendiri - Chenderiang - mempunyai kira-kira 45 penempatan Orang Asli.
"Apa yang mereka bangkitkan adalah kebimbangan terhadap masalah tanah dan kemudahan asas, yang dinyatakan sendiri dalam manifesto Harapan dan dijanjikan sendiri oleh beliau," katanya lagi.

