Pemimpin Hindraf 2.0, P Uthayakumar menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum melaksanakan janji kepada masyarakat India, terutamanya golongan berpendapatan "bawah 75 peratus" (B75) yang memerlukan bantuan.

"Hanya kira-kira 0.05 peratus yang berjaya dilaksanakan untuk membantu golongan B75 dari kalangan orang India sepanjang 200 hari tempoh PH memerintah berbanding pada hari pertama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Uthayakumar, masalah yang mempengaruhi golongan miskin dalam masyarakat India jarang didengar dalam masyarakat lain termasuk Melayu, Cina, Orang Asli dan Iban.

"Jelas bahawa kerajaan PH belum mula menangani masalah asas sekali pun di kalangan golongan B75 orang India," katanya.

Uthayakumar menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk berjumpa dengan pihaknya agar beliau dapat membentangkan isu yang dihadapi golongan miskin India di Malaysia.

Kenyataan Uthayakumar itu dibuat pada ulang tahu ke-11 perhimpunan Hindraf yang pernah diterajuinya.

Uthayakumar bagaimanapun menyerahkan tugasnya dalam Hindraf kepada adiknya, P Waythamoorthy yang pulang dari luar negara dan mengambil alih gerakan itu. Uthayakumar kini bergerak dengan gerakan yang dinamakan Hindraf 2.0

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, Waythamoorthy membawa Hindraf menyokong PH. Beliau akhirnya dilantik sebagai menteri selepas PH mengambil alih kerajaan dan ditugaskan menangani isu golongan minoriti.

Uthayakumar dalam kenyataannya, menyenaraikan beberapa contoh peminggiran masyarakat India termasuk dalam bidang pendidikan dan perniagaan.

Beliau juga mengkritik peruntukan RM150 juta oleh kerajaan PH kepada masyarakat India dan menyifatkan ia sebagai "meniru" belanjawan kerajaan ketika di bawah pentadbiran BN.

Beliau juga menambah bahawa isu kewarganegaraan di kalangan masyarakat India tidak ditangani sewajarnya apabila hanya memberikan kelayakan kepada golongan masyarakat India yang tidak mempunyai kewarganegaraan yang berumur 60 tahun ke atas.

[Baca berita asal]