Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Walau sudah 10 tahun, Waytha tetap perlu dipecat'

Walaupun sudah sepuluh tahun berlalu, Kongres Tolak Icerd yang berlangsung di PWTC hari ini tetap mendesak pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy, susulan rakaman video ketika beliau sebahagian daripada Hindraf pada 2007.

Dalam rakaman itu, Waythamoorthy yang diwawancara stesen TV Belanda mendakwa golongan minoriti, terutama masyarakat India, didiskriminasi di Malaysia - antaranya kuil dirobohkan, dipaksa menukar agama dan diusir daripada rumah tradisi di kawasan ladang.

Klip video itu kembali tular di tengah-tengah isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan beberapa pihak menganggapnya memburukkan negara.

Ketua Sekreteriat Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya berkata, gesaan itu memandangkan Waythamoorthy dilihat masih membawa sikap lamanya sehingga kini.

"Kes (rakaman video) berlaku sepuluh tahun lalu, ia bukan isu baru. Kita tahu bagaimana sikapnya, dan ia dibawa sampai ke hari ini.

"Jika kita beri ruang kepada orang seperti ini, ia tidak betul dan satu usaha memusnahkan keharmonian negara kita," katanya ketika sidang media selepas kongres tersebut.

Antara peserta kongres yang bersetuju dengan resolusi itu adalah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) dan laman The Patriots.

Pada 22 November lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Waythamoorthy "sudah berubah" dan rakyat perlu memberi peluang kepadanya untuk menjalankan tugas sebagai anggota kabinet.

Ketika ditanya sama ada Mahathir akan melayan desakan pihaknya, Aminuddin berkata mereka akan tetap berusaha untuk memastikan Waythamoorthy tidak lagi menjadi menteri.

"Sebagaimana kita usaha hari ini (berkenaan Icerd), sehingga kerajaan ubah pendirian mereka untuk memastikan beliau dipecat, atau beliau letak jawatan," katanya lagi.

Resolusi kongres juga menyatakan kebimbangan dengan apa yang disifatkan seabgai "anasir antiPerlembagaan" dalam kerajaan walaupun Jabatan Perdana Menteri telah menyatakan tidak akan meratifikasi Icerd.

Maka kongres mendesak kerajaan membahaskan isu itu di Dewan Rakyat agar boleh direkodkan dalam hansard parlimen.

Bukan sekadar kenyataan media yang tiada kesan atau nilai perundangan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS