Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata suruhanjaya itu dalam kenyataan media hari ini.

Perkembangan terbaru itu selepas Ketua Audit Negara Madinah Mohamad (gambar) mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 22 Nov 2016 mengarahkan Ambrin Buang, yang merupakan ketua audit negara ketika itu, meminda laporan audit 1MDB.

Madinah turut mendedahkan setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh turut mengarahkan bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho dalam laporan itu dikeluarkan.

SPRM memaklumkan bahawa pihaknya telah meneliti dokumen asal laporan tersebut untuk dibandingkan dengan draf akhir yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara.

"Sehubungan itu, SPRM akan memanggil beberapa saksi dalam tempoh terdekat bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berkaitan isu tersebut dalam tempoh terdekat," kata kenyataan itu.