PARLIMEN | Kerajaan menjangkakan pemansuhan atau pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 akan dapat selesai dilaksanakan pada Disember 2020, kata Kementerian Pendidikan.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah menyediakan satu garis masa tempoh pelaksanaan pemansuhan atau pindaan AUKU dimana ia dijangka akan dibentangkan di parlimen selesai dilaksanakan pada Disember tahun 2020," jelas KPM pada jawapan bertulis parlimen bagi sidang dari 19 ke 22 November ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 17 November lalu dilaporkan Sinar Harian mengulangi komitmen kerajaan memansuhkan Auku, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 PH.

Maszlee berkata mesyuarat kabinet pada 9 November lalu juga telah memberi kelulusan bagi membolehkan pembatalan Seksyen 15 Auku dibuat terlebih dahulu.

"Saya ingin menjelaskan bahawa aspek yang rumit adalah isu berkaitan dengan urus tadbir baik dan autonomi kewangan universiti-universiti awam.

"Pasukan undang-undang KPM sedang meneliti perkara ini dalam pelbagai sudut. Saya yakin proses memansuhkan Auku akan selesai pada 2020," katanya.

Maszlee dipetik Sinar Harian berkata langkah pemansuhan Auku itu akan dibuat secara berperingkat.