Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pembantu Najib disingkir dari jawatan pengerusi Bank Rakyat
Diterbitkan:  Nov 26, 2018 12:57 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Kementerian Pembangunan Usahawan hari ini mengumumkan penyingkiran Shukry Mohd Salleh sebagai Pengerusi Lembaga Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) berkuat kuasa serta merta.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, berkata tindakan ini dibuat selaras dengan Seksyen 5 dan subperenggan 2(2) Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202) berikutan keterlibatan Shukry dalam Laporan Asal Audit 1MDB.

Semalam, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak pada 22 Nov 2016 mengarahkan Ambrin Buang, yang merupakan ketua audit negara ketika itu, meminda laporan audit 1MDB.

Madinah turut mendedahkan Shukry selaku setiausaha sulit Najib, ketika itu turut mengarahkan bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho dalam laporan itu dikeluarkan.

"Sehubungan dengan itu, apa-apa keputusan yang memberi implikasi kepada Bank Rakyat yang telah dibuat sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Bank Rakyat akan disemak semula dan dibatalkan sekiranya menjejaskan kepentingan bank," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan akan mengumumkan pelantikan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat yang baharu sebaik sahaja proses pelantikan dimuktamadkan, menurut kenyataan itu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS