Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal himpuan Icerd, buat sujud syukur, kenduri pisang, kata Mahfuz

Naib presiden Amanah, Mahfuz Omar membidas penganjur himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang mahu meneruskan bantahan itu pada 8 Disember ini.

Melabelkan himpunan itu sebagai tiada hala tuju dan membazir, katanya, adalah lebih baik jika wang yang telah dikumpul bagi menyertai perhimpunan itu dimanfaatkan bagi membantu fakir miskin dan sekolah-sekolah agama.

“(Jika) demo Bersih untuk pilihan raya ada hala tuju dia. Jika demo (yang pada mulanya) untuk bantah Icerd, tetapi Icerd sudah tidak jadi diratifiskasi, maka tak ada keperluan untuk teruskan kerana tak ada hala tuju.

“Kalau setakat nak (buat) majlis kesyukuran, saya cadangkan semua (supaya) buat sujud syukur dan buat kenduri pisang di masjid dan surau seluruh negara.

“[...] Tapi kalau nak buat juga saya percaya rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia akan ketawa bahawa orang demo (tetapi) tanpa hala tuju,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi umat Islam sekiranya pemikiran mereka tidak berubah.

“Saya dah kata isu ni lebih kepada (usaha) cuba menjarakkan sokongan orang-orang Islam dan Melayu daripada PH.

“Walaupun ratifikasi tak berlaku seharusnya orang Islam sedar apa masalah sebenarnya.

“Masalahnya bukan Icerd, tetapi 'mindset' (pemikiran) - pemikiran harus berubah bagaimana untuk ambil peduli (tentang) masalah yang selalu melibatkan orang Islam seperti masalah akhlak, anak luar nikah, dadah dan sebagainya," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas syor yang dibangkitkan oleh Mahfuz, timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memulangkan paku buah keras kepada timbalan menteri sumber manusia itu.

“Hah, itu dia buatlah, saya minta dia buat begitu, yang kita yang kita buat ni format kitalah. Saya ingat dan fikir kalau dia dalam pembangkang pun dia akan sokong apa kita buat,” katanya.

Menurutnya, himpunan itu akan tetap diteruskan tetapi dengan format berbeza yang lebih bersifat kesyukuran kerana persiapan telah pun dibuat

“Keputusan kerajaan dah lewat umum, mereka (peserta perhimpunan) dah tempah bas dan hotel pun, persiapan dah dibuat. Kalau batal, mereka rugi.

“Jadi kita fikir, kita tukar format, situasi menang-menang- kerajaan pun tolak, penganjur pun tidak kecewakan orang ramai. Saya fikir ini langkah terbaik.

“Jangan fikir dan lihat ini sebagai polemik, kerana himpunan juga diakui dalam sistem demokrasi. bahkan akta kita juga membenarkan himpunan aman diadakan,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS