Gerakan Pembela Ummah (Ummah) tidak yakin dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) meskipun kenyataan rasmi sudah dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Ummah Kamaruzzaman Mohamad berkata, himpunan bantah Icerd 8 Dis ini diteruskan juga sebagai menghantar isyarat kepada kerajaan supaya tidak mencabar perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, walaupun Pejabat Perdana Menteri sudah mengeluarkan kenyataan, namun menteri mahupun timbalan menteri masih bersuara "mempertahankan" Icerd termasuk bakal perdana menteri, Anwar Ibrahim.

"Pemakluman pembatalan untuk meratifikasikan Icerd pun melalui proses yang sangat tidak bersungguh-sungguh, hanya satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, siapa yang keluarkan itu? 

"Adakah perdana menteri sendiri? Ataupun menter-menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tak tahu siapa yang keluarkan surat itu.

"Walaupun telah dibuat kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri (tetapi) ada lagi menteri lain yang masih bercakap tentang Icerd. Contohnya, bakal perdana menteri, masih lagi menyebut tak boleh tolak Icerd. Ada juga menteri jaga agama yang cakap tak akan maju kalau tak ratifikasi Icerd.

"Bermakna cita-cita untuk meratifikasi Icerd masih ada, jadi himpunan ini bagi isyarat kepada mereka (kerajaan) jangan sesekali cuba usik Icerd ini. Dan kami memberi amaran kepada kerajaan jangan sesekali usik apa yang ada dalam perlembagaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu program himpunan di Kampung Gajah, Pasir Salak mengumumkan satu perhimpunan mega membabitkan penyertaan ahli parti itu dan Umno akan diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini bertujuan membantah cadangan meratifikasikan Icerd.

Bagaimanapun, melalui satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada 23 Nov lalu, kerajaan mengesahkan untuk tidak meratifikasi Icerd.

Susulan itu, Ummah selaku penggerak perhimpunan 8 Dis nanti memaklumkan meneruskan program itu sebagai himpunan kesyukuran.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuannya dengan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kamaruzzaman berkata semuanya berjalan lancar.

Katanya, pihaknya mendapat panduan pihak berkuasa bagi menguruskan perjalanan program itu selain turut memaklumkan akan mengemukakan permohonan kepada pihak DBKL bagi penggunaan Dataran Merdeka esok.