Pemuda Umno meminta pihak polis menyiasat dakwaan terdapat penglibatan samseng dalam insiden pergaduhan di sebuah kuil lama di Subang Jaya awal pagi tadi.

Ketua Pergerakan itu Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan tegas wajar diambil terhadap “pihak yang mencetuskan provokasi dan ketegangan hingga meletusnya rusuhan dan kekecohan”.

Menulis polis, siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada proses pengambilan tanah yang “kurang menyenangkan” sehingga mencederakan tiga lelaki cedera dan menyebabkan 18 buah kereta terbakar.

Kuil itu sepatutnya dipindahkan pada 22 November lalu. Rancangan pemindahan dibuat sejak 2007 selepas hartanah itu dibeli oleh syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd.

Kes itu dibawa ke mahkamah. Pada 2014, penghakiman persetujuan dibuat apabila One City dan dua pihak yang mahu menguruskan kuil itu setuju ia dipindahkan ke sebidang tanah yang terletak kira-kira 3km dari tapak asal.

Untuk persetujuan itu, One City menderma RM1.5 juta kepada pihak kuil.

Bagaimanapun, terdapat penganut Hindu yang menentang rancangan memindahkan kuil yang dikatakan dibina pada tahun 1891 itu.

One City menafikan mencetuskan pergaduhan itu dan menegaskan pihak telah beberapa kali menunda perintah mahkamah mengenai pemilikan tanah dan berusaha memastikan prosesnya berjalan aman.

'Ganabatirau tak bertanggungjawab '

Dalam kenyataan hari ini, Asyraf Wajdi juga menuntut pihak polis mengambil tindakan terhadap exco kerajaan Selangor V Ganabatirau.

“Kenyataan exco DAP V Ganabatirau yang memuat naik dalam Facebook beliau menuduh umat Islam serang kuil juga adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menjadi punca perbalahan kaum.

“Pemuda mendesak agar pihak polis mengambil tindakan sewajarnya kepada beliau yang sengaja mahu menyemarakkan api permusuhan kaum di negara ini.

Ganabatirau menerusi Facebooknya pagi tadi dilapor memuat naik kenyataan mendakwa terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam insiden tersebut.

Beliau bagaimanapun telah mengubah kenyataannya selepas mendapat kecaman warga maya.