Kabinet memutuskan bahawa potongan gaji mandatori sebanyak dua peratus akan dibuat sebaik gaji peminjam PTPTN mencecah RM2,000 sebulan berbanding RM1,000 sebulan sebelum ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran Teoh Nie Ching, keputusan itu susulan kajian semula kabinet pada 23 November lalu yang juga memutuskan potongan itu pada kadar dua peratus atau RM40 sebaik gaji mereka mencecah RM2,000.

“Potongan akan meningkat secara progresif sehingga 15 peratus mengikut jumlah gaji peminjam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH DAP-Ipoh Timur) mengenai pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN untuk pelajar separuh masa yang mendapat keputusan kelas pertama.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus kepada peminjam yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Pengumuman itu mendapat bantahan ramai terutama persatuan mewakili pelajar dan penuntut universiti yang mendesak syarat itu dikaji semula.

Teo juga memaklumkan bahawa seramai 53,113 peminjam diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kerana memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 37,355 adalah penuntut universiti awam (UA) dan 15,758 orang daripada institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

“Kita belum bercadang memanjangkan pengecualian itu kepada peminjam yang mengikut kursus secara separuh masa,” katanya.

[Baca berita penuh]