Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Genting saman Disney, Fox AS$1b
Diterbitkan:  Nov 27, 2018 12:48 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Genting Malaysia Bhd menyaman Walt Disney Co dan Twenty-First Century Fox Inc sebanyak lebih AS$1 bilion kerana didakwa menolak kontrak berkaitan pembinaan taman tema dengan jenama Fox.

Reuters melaporkan Genting sebagai berkata bahawa ‘penyesalan penjual’ memaksa Fox dengan bantuan Disney melanggar kontrak dimeterai pada 2013 bersama Fox Entertainment Group (FEG) untuk memberi lesen kepada Fox World membina pertambahan kepada kompleks Resort World Genting.

Menurut aduan Genting itu, Disney adalah pihak yang membuat keputusan dan mahu menamatkan kontrak terbabit kerana kerjasama dengan syarikat perjudian tidak memenuhi strategi ‘mesra keluarga’ jenama berkenaan.

Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Daerah Los Angeles ketika Disney sedang bersiap sedia menyempurnakan pembelian aset Fox bernilai AS$71.3 bilion (RM298 bilion) yang dijangka selesai menjelang suku tahun pertama 2019.

Genting juga dilaporkan oleh Reuters sebagai berkata bahawa Fox mengeluarkan notis tindakan dengan harapan dapat menamatkan kontrak dan ‘ia konsisten dengan hasrat Disney mahu mematikan perjanjian’ itu demi faedah sendiri.

“FEG tidak berhak untuk menamatkan perjanjian ini dan Fox serta Disney bertanggungjawab atas kerugian berbilion dolar kerana sikap mereka,” kata aduan itu lagi.

Menurut Genting, pihaknya sudah membuat pelaburan berjumlah lebih AS$750 juta (RM3.1 bilion) di dalam syarikat Fox World.

Berikutan laporan tuntutan mahkamah itu, Genting muncul sebagai antara kaunter aktif utama di Bursa Malaysia, dengan harga sahamnya jatuh 42 sen kepada RM3.18, selepas dibuka 60 sen lebih rendah pada harga RM3.00 hari ini.

Menurut Bernama, ini juga menyebabkan harga saham syarikat induk Genting Bhd turun 35 sen kepada RM6.55, selepas dibuka 50 sen lebih rendah pada RM6.40.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS