Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, mengesahkan wujudnya usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, ini berdasarkan dua kenyataan semalam, termasuk fakta pengakuan oleh bekas Menteri Besar, Dr Zambry Abd Kadir dan exco kerajaan negeri Perak, Asmuni Awi, dalam kenyataan mereka.

“Zambry dalam sidang medianya semalam berkata ‘it’s real’ (ini benar).

“Berdasarkan kedua-dua fakta secara terbuka oleh Zambry dan Asmuni, maka saya sahkan ada usaha untuk cuba menjatuhkan kerajaan negeri Perak,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Semalam, Asmuni yang juga Pengerusi Amanah dalam laman media sosialnya, mengakui dirinya pernah ditawar jawatan menteri besar oleh Umno jika keluar Pakatan Harapan (PH).

Beliau mendakwa Umno menghantar wakil mengajaknya untuk keluar dari PH seterusnya bersama parti itu serta wakil rakyat PAS dan Bersatu menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Mengulas lanjut, Nga yang juga adalah naib pengerusi PH Perak, berkata, satu laporan polis akan dibuat oleh Ketua Sekretariat PH Perak, V Sivakumar, dalam masa terdekat terhadap mereka yang terbabit dalam isu itu.

Katanya, menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi dan Seksyen 124C kanun sama atas dakwaan cuba melakukan kegiatan yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kita tidak akan melepaskan anasir yang cuba porak perandakan negeri kerana kita mahu tumpu kepada kebajikan rakyat serta kesejahteraan rakyat. Ini adalah tumpuan kita.

“Saya seru Barisan Nasional (BN) jadilah pembangkang yang konstruktif dan bukan cuba jatuhkan kerajaan.

“Laporan polis ini akan dibuat untuk siasat secara menyeluruh untuk pastikan mana-mana usaha jahat untuk jatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak akan berulang di Perak,” katanya yang dipetik oleh akhbar itu.