Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menafikan dakwaan bahawa anggotanya Muhammad Adib Mohd Kassim telah meninggal dunia, seperti yang disebarkan di media sosial.

"Berita kematian pegawai bomba yang tular di laman sosial adalah tidak benar.

"Keadannya stabil dan sama-samalah kita mendoakan beliau pulih seperti sedia kala," kata jabatan bomba di Twitter hari ini.

Jabatan itu juga mengongsikan gambar hantaran palsu oleh individu yang menggunakan nama "Zack Ma", yang mendakwa menerima maklumat Muhammad Adib telah meninggal dunia.

 

Muhammad Adib, 24, cedera parah selepas diserang pelusuh dekat Kuil Sri Mariamman di Subang Jaya awal pagi tadi.

Beliau adalah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang dihantar ke tempat kejadian.

Perusuh dilaporkan menariknya keluar daripada kenderaan dan dipukul, menyebabkannya patah tulang rusuk dan mengalami kecederaan dalaman.

Beliau kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Subang Jaya.