Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor bagi membincangkan kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Malah, kata Amirudin, tindakan susulan berhubung kejadian itu juga akan dibuat sebaik saja keputusan dicapai dalam mesyuarat petang ini.

"Hari ini saya telah memanggil mesyuarat MKN di samping akan melihat beberapa perkembangan terbaru supaya dapat memastikan keadaan dan ketenteraman awam dapat dikembalikan di kawasan terbabit.

"Insya-Allah selepas ini akan ada beberapa tindakan susulan akan diambil oleh pihak keselamatan untuk mengembalikan keadaan kenteraman di kawasan itu," katanya kepada pemberita di Shah Alam.

Amiruddin berkata demikian ketika mengulas kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Disoal mengenai dakwaan kelewatan kerajaan negeri menangani rusuhan yang berlaku itu, Adun Sungai Tua itu berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.

"Ia melibatkan hal keselamatan, saya tak ada (kuasa) arahan keselamatan yang boleh dibuat, kejadian bermula semalam dan awal pagi. Selepas keadaan tersebut ada lagi kawalan dan saya panggil majlis keselamatan.

"Saya sekali lagi meminta mana-mana pihak yang berkepentingan atau tidak berkepentingan supaya jangan membuat kenyataan-kenyataan seperti menyimbah minyak ke dalam air dan bara yang sedang marak.

“Sememangnya ini sudah merebak jadi isu keselematan dan saya harus bertindak tegas kerana keutamaan saya adalah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dikekalkan di Selangor," katanya.

Amiruddin juga diminta mengulas mengenai permohonan maaf exco Selangor, V Ganabatirau yang membetulkan semula kenyataan beliau.

"Dia dah tarik balik dan betulkan kenyataan. Dia dah tarik balik itu sebagai tanda (maaf) atas kesilapan yang dibuat," katanya.

Manakala ditanya adakah tindakan tegas akan diambil terhadap pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin itu, Amirudin berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.

"Kita akan bincangkan nanti, tapi yang paling penting bagi saya adalah untuk kembalikan keamanan dan ketenteraman," katanya.

'Tunggu dan lihat'

Amiruddin yang ditemui selepas tiga jam mesyuarat itu kemudian berkata pihaknya sepakat untuk menunggu perkembangan lanjut dan tindakan polis seterusnya.

"Kita tunggu tindakan polis, sebab tadi sudah ada beberapa keputusan dibuat. Kita cuba sedaya-upaya untuk kembalikan kententeraman di sana (kuil).

"Kuasa memang dari polis dan mereka akan ambil tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata akan menambahkan anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) lebih "dua kali ganda" untuk berkawal di kawasan sekitar kuil hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga telah menyatakan pihak yang terlibat, termasuk perusuh dan dalang di belakangnya, akan menerima hukuman sewajarnya.