Meskipun salah seorang rakan setugas mereka kini sedang kritikal di hospital, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tetap bersemangat dan akan menjalankan tugas dengan profesional.

Malah kata Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid, jika seleoas ini ada kediaman atau harta perusuh yang menyerang mereka mengalami kebakaran, bantuan akan tetap dihulurkan sebaik mungkin.

Ditemui media di Subang Jaya hari ini Mohammad Hamdan berkata anggota JBPM bertugas mengikut undang-undang dan pada masa sama orang ramai mesti mengawal emosi masing-masing.

Mengakui apa yang menimpa salah seorang anggota bomba Selangor sebagai amat mendukacitakan Mohammad Hamdan berkata petugas JBPM sentiasa berkorban masa dan nyawa demi menyelamatkan orang lain.

"Mungkin (selepas ini) termasuk keluarga perusuh ini, kalau (berlaku) kebakaran di rumah mereka, kita akan respons," katanya.

Terdahulu Mohammad Hamdan menjelaskan bagaimana salah seorang anggota bomba terbabit dalam operasi di kawasan kuil Sri Maha Mariamman awal pagi tadi cedera.

Katanya Muhammad Adib Muhammad Kasim tiba bersama yang lain dalam Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) melalui jalan belakang kerana mendapati ia adalah laluan lebih cepat untuk sampai ke kenderaan yang dibakar.

Selangor tanggung kos perubatan

Apabila mereka memberhentikan kenderaan berhampiran sumber air dan kru di bahagian depan turun, kata Mohammad Hamdan, ada sekumpulan orang datang dan mula menyerang kenderaan bomba.

Atas arahan ketua operasi, katanya, petugas terbabit kemudian berundur. Namun kata pada ketika itu perusuh mula membaling batu dan memukul kenderaan bomba dengan kayu serta besi.

Pada ketika itulah kata Mohammad Hamdan, Muhammad Adib ditarik keluar dari kenderaan dan dibelasah namun tidak disedari oleh yang lain kerana keadaan kelam-kabut.

"Mereka tidak meninggalkan Adib di sana, tetapi tidak sedar kerana keadaan yang berlaku.

"Bomba juga percaya mungkin lebih ramai yang akan parah jika mereka menunggu lebih lama," katanya.

Muhammad Adib - yang dijadual akan melangsungkan perkahwinan akhir tahun ini - kemudian dihantar ke hospital oleh orang yang tidak dikenali.

Mohammad Hamdan berkata anggota bomba dfahamkan keadaan agak reda tetapi tidak lama selepas pasukan terbabit tiba tiba-tiba ada orang ramai datang.

Justeru beliau tidak menolak kemungkinan ia dirancang lebih awal, namun menegaskan JBPM tidak pasti mengenainya.

Anggota dan pegawai JBPM berdoa untuk keselamatan Muhammad Adib

Beliau juga berkata bomba akan tetap meneruskan tugas seperti biasa memandangkan keadaan di situ masih belum pulih sepenuhnya.

"Dan selepas ini kami akan bertugas bersama pasukan keselamatan yang lain khususnya pihak penguatkuasaan," katanya.

Menurut Mohammad Hamdan paru-paru Muhammad Adib cedera dan terdapat kesan kecederaan serta lebam pada dada dan perut mangsa.

Katanya lima doktor pakar sedang merawat anggota bomba terbabit di unit rawatan rapi hospita itu.

Sementara itu Menteri Besar Selangor yang turut berada di hospital swasta itu berkata kerajaan negeri sedih dengan apa yang berlaku kke atas Muhammad Adib.

Pada masa sama Amirudin berkata kerajaan negeri akan menanggung semua perbelanjaan perubatan Muhammad Adib di hospital berkenaan.