Menteri di Jabatan Perdana Menteri P waytha Moorthy menggesa polis bertindak terhadap rusuhan di Kuil Sri Mariamman Seafield semalam.

Mengecam kejadian itu, beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan tindakan itu yang menurutnya oleh "beberapa kumpulan" yang berselindung di sebalik alasan mempertahankan kuil itu.

"Saya menggesa polis mengambil tindakan segera dalam membendung keganasan yang berlaku.

"Isu kuil ini adalah antara pemaju dan pengurusan kuil, ia tidak seharusnya dieksploitasi untuk menjadi konflik perkauman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam, sebanyak 23 kenderaan terbakar.

Perusuh juga menyerang seorang anggota bomba menyebabkannya cedera parah dan memecahkan cermin bangunan yang dikatakan pejabat syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd.

Waytha turut menggesa masyarakat India kekal bertenang dalam menangani isu itu dan berwaspada dengan pihak yang mahu mengambil kesempatan mencetuskan "pergolakan sosial".

"Jangan bertindak melulu-lulu dalam menangani isu ini," katanya lagi, yang turut menggesa pihak pengurusan kuil mengawal dan memastikan keselamatan penganut yang ke kuil itu.

Beliau juga menyifatkan serangan terhadap anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, sebagai tindakan keji apatah lagi ia berlaku ketika beliau bertugas untuk menjaga keselamatan penganut di sana.

"Kerajaan memandang serius kejadian ini dan tidak akan teragak-agak bertindak terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keselamatan awam," katanya lagi.

Setakat ini polis telah menahan 21 individu berkaitan rusuhan semalam.