Paling Popular
Terkini

Exco Selangor V Ganabatirau berkata beliau sedia membuat permohonan maaf berhubung kenyataannya sebelum ini jika ia boleh meredakan ketegangan berhubung isu kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

"Kalau itu yang diperlukan dan diutamakan, saya sanggup mohon maaf," katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning itu berkata kenyataan yang dibuatnya di media sosial sebelum ini berdasarkan apa yang diketahuinya.

Kata Ganabatirau ada sekumpulan orang masuk ke pekarangan kuil berkenaan kira-kira jam 2 atau 3 pagi sambil melaungkan "perkataan Arab."

"Anda perlu faham seperti yang saya nyatakan tadi, golongan ini masuk dalam kawasan pekarangan dalam kuil jam 2 hingga 3 pagi dan nampak ratusan orang dengan bersorak dengan laungan perkataan Arab.

"Tapi kalau permohonan maaf ini akan tenangkan semua pihak saya akan mohon maaf," katanya.

Ganabatirau pada semalam menggunakan Facebook untuk menyatakan pandangannya berhubung kekecohan di kuil berkenaan.

Katanya terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam insiden tersebut sebagai cubaan untuk mengganggu keharmonian kaum di negara ini.

Beliau bagaimanapun telah mengubah kenyataannya dalam laman sosial miliknya itu selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkan ia sebagai rasis.

Untuk rekod tapak kuil berkenaan kini menjadi milik sebuah syarikat pemaju yang sudah mendapat perintah mahkamah supaya penghuninya berpindah.

Mengulas lanjut, pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin mempersoalkan tindakan pihak yang didakwa menceroboh kuil tersebut.

"Kenapa golongan ini masuk ke kuil pada awal pagi. Siapa telah upah mereka? Adakah mereka ni terlalu murah untuk menerima RM 300 seperti dinyatakan PDRM? Kenapa perkara ini tak diutamakan?

“Kalau asyik nak guna agama dan perkauman sebagai asas kepada politik, OK-lah saya minta maaf. Tapi bila orang-orang ini nak minta maaf dan sedarkan diri? Tolong tanya pada mereka? Soalnya.

Ganabatirau 'tersepit'

Menurut Ganabatirau, beliau juga tersepit dengan apa yang berlaku dalam isu kuil Sri Maha Mariamman itu.

"Ada pihak panggil saya rasis apabila saya kata begini (dalam Facebook) dan ada juga pihak di sebelah sana pula kata saya pengkhianat agama.

"Anda boleh lihat keadaan kami apabila kami cuba bertindak atas prinsip dan jujur dalam perkara ini," katanya.

Tambah Ganabatirau, apa yang berlaku dalam isu kuil Sri Maha Mariamman juga disebabkan oleh ketaasuban “penunggang agama” dan “penunggang politik”.

"Bagaimanapun saya nampak, penunggang agama dan penunggang politik ini mahukan keadaan ini semakin keruh dan mereka yang cuba membuat hal-hal yang tak diingini," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS