Zahid ingatkan menteri ‘usah jadi hero’
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy kerana menyebabkan ‘provokasi’ berhubung kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman USJ25 di Subang Jaya.
“Jangan ada mana-mana pihak yang merasakan seolah menjadi wira kepada sesuatu agama, apatah lagi portfolio yang dipegangnya adalah untuk tujuan mewujudkan perpaduan.
“Jangan kedudukan ini dijadikan sebagai sesuatu tempat untuk mewujudkan provokasi kepada penganut-penganut berkenaan atau penganut agama lain,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Biarpun tidak menyebut secara langsung nama Waythamoorthy, tetapi kenyataannya itu dipercayai secara jelas merujuk kepada senator itu.
Mengulas lanjut, Zahid turut meluahkan harapannya agar keharmonian beragama di negara ini dapat dikekalkan, dalam masa sama tidak melanggar peraturan yang ada.
Waythamoorthy menerima tempias apabila mengkritik pihak polis dalam menangani isu rusuhan di kuil tersebut awal pagi semalam, termasuk tiba lewat ke lokasi.
Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan oleh timbalan menteri dalam negeri Mohd Azis Jamman yang menjelaskan polis hanya mengambil masa kira-kira sepuluh minit untuk tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan pertama pada 2.40 pagi semalam.
Malam semalam, perhimpunan yang disertai ribuan masyarakat India di perkarangan kuil tersebut bertukar menjadi rusuhan selepas lewat malam.
Seorang anggota bomba dilaporkan cedera parah setelah ditarik dari kenderaan bomba dan dipukul dan kini ditempatkan di ICU Pusat Perubatan Sime Darby.
Satu kumpulan dilaporkan turut menyerang pegawai daripada syarikat yang memiliki tapak kuil itu, MCT Bhd dan membakar beberapa kenderaan.

