Anggota parlimen Pasir Salak Tajuddin Abd Rahman menafikan bahawa Umno cuba memancing exco kerajaan negeri Perak Asmuni Awi dengan jawatan menteri besar (MB).

“Tak ada, saya tak dengar. Spekulasi saja,” jawab wakil rakyat veteran Umno itu.

Sebaliknya, dakwa Tajuddin, cakap-cakap mengenai ‘bakal MB’ timbul akibat DAP sendiri tidak berpuas hati dengan MB Perak Ahmad Faizal Azumu.

Asmuni yang juga merupakan pengerusi Amanah Perak semalam mendakwa wakil Umno menemuinya pada 1 November lalu dan menawarkan jawatan MB jika beliau meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan dengan PAS dan Bersatu.

Semalam Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menafikan ada usaha untuk menjatuhkan MB Perak dan menyatakan sokongan penuh terhadap beliau.

Apabila ditanya ramalannya tentang sebarang perubahan dalam kepimpinan negeri Perak dalam masa terdekat, Tajuddin mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

"Saya rasa bila-bila masa boleh jadi sesuatu. Kita BN tak kisah, tunggu dan lihat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Dr Shamsul Anuar Nasarah mengakui bahawa wujud perebutan jawatan menteri besar di Perak.

Katanya, pihak kerajaan negeri pernah "meminta bantuan" daripada BN untuk merealisasikan hajat pihak tertentu menjatuhkan menteri besar Perak sekarang.

“Konspirasi itu bukannya daripada BN, ia diwujudkan oleh mereka sendiri (PH).

“Ada usaha daripada pihak kerajaan negeri untuk meminta bantuan daripada BN bagi menjayakan matlamat mereka. [...] Jadi kita lihat sudah ada keretakan di kerajaan negeri,” katanya.

Apabila disoal adakah beliau bermaksud akan ada usul tidak percaya di Perak, seperti Tajuddin, beliau menjawab "tunggu dan lihat".

“Kita tengoklah, saya tak boleh komen sebab itu negeri. Cuma saya boleh mengakui apa yang disebutkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad bahawa ada perebutan jawatan menteri besar di Perak.

“[...] Pihak kerajaan meminta bantuan daripada Umno untuk menjayakan matlamat mereka, tapi terserah kepada kebijaksanaan Saarani. Mereka punya krisis, bukan kita punya krisis,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Beliau turut menjelaskan Umno tidak menolak kerjasama dengan mana-mana pihak selagi tidak membelakangkan prinsip parti tersebut.