IGP: Kami tak boleh tutup kawasan rumah ibadat
Ketua Polis Negara Mohammad berkata PDRM Mohammad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak menghalang orang ramai daripada pergi ke rumah ibadat.
Beliau berkata demikian untuk menjelaskan sebab pihak berkuasa tidak menutup kawasan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.
Tapak kuil dan sekitarnya menyaksikan dua rusuhan ganas dalam masa 24 jam, dengan insiden awal pagi tadi menyebabkan seorang anggota bomba cedera parah.
"Ramai orang tanya saya, mengapa tidak tutup jalan-jalan menghala ke kuil itu. Saya kata tak boleh sebab ia akan lebih menyusahkan orang ramai.
"Kita buat kawalan berterusan. Saya sudah nasihatkan tak perlulah berkumpul tetapi kita tak boleh sekat orang (ke sana) untuk melakukan ibadat," katanya pada sidang media selepas melawat anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, di hospital di Subang Jaya tadi.
Fuzi berkata, jalan hanya akan ditutup jika ada keperluan untuk berbuat demikian.
Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba patah tulang rusuk dan mengalami kecederaan dalaman setelah diserang perusuh.
Beliau kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Ketegangan mula tercetus awal pagi Isnin selepas sekumpulan penceroboh menyerang kuil itu dan menjadikan sebahagian penjaga kuil sebagai tebusan.
Rusuhan kemudian tercetus, menyaksikan sejumlah kenderaan dibakar dan beberapa orang penceroboh cedera.
Semalam, sejumlah 2,000 orang berhimpun di perkarangan kuil itu. Himpunan yang bermula aman kemudian bertukar rusuh.
Selain menyerang Adib, sekumpulan perusuh turut menyerang pejabat MCT Berhad, yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.
MCT Berhad adalah bekas pemilik One City Development Bhd, syarikat yang yang membeli tanah tapak kuil itu dan kini mahu memindahkannya.

