Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri janji tangguh roboh kuil hingga penyelesaian muktamad

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berjanji Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman, USJ25, di Subang Jaya tidak akan dirobohkan sehingga menemui penyelesaian muktamad.

Beliau turut mengesahkan bahawa beliau telah membawa isu itu kepada perhatian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Pagi tadi saya berjumpa dengan perdana menteri berhubung isu kuil ini. Beliau menyatakan kebimbangan setelah mendapat tahu situasi semasa kuil.

“Setelah berbincang dengan beliau, saya bagi pihak kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berjanji bahawa kuil ini tidak akan dirobohkan sehingga satu penyelesaian muktamad,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media sebentar di kuil, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan exco Selangor V Ganabatirau.

Waythamoorthy turut berjanji akan berjumpa perdana menteri dalam masa terdekat untuk menyampaikan permintaan penganut kuil dan masyarakat India tempatan agar kuil berusia 146 tahun itu dikekalkan di tempat asalnya.

“Sehingga itu kami menyeru orang ramai tenang dan bersabar tidak melakukan sebarang provokasi,” tambahnya.

Terdahulu, situasi sidang media menjadi tegang seketika selepas segelintir ahli MIC meempertikai dan mendakwa pemimpin PH tidak hadir ke kuil semalam.

Namun, persoalan mereka dijawab oleh Kualsegaran bahawa pihak kuil yang meminta mereka hadir pada hari ini.

“Kami diberitahu supaya hadir hari ini selepas situasi semasa kuil semalam tidak begitu tenang,” katanya.

Sementara itu, Ganabatirau berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan pihak kuil dan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

ADS