Kajian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati sebahagian masyarakat Orang Asli di negara ini masih tidak mendapat bekalan air bersih, dan masih bergantung kepada sumber semula jadi seperti sungai.

Kesimpulan itu selepas lawatan dua minggu oleh Pelapor Khas PBB Leo Heller sekitar penempatan Orang Asli, termasuk di tujuh kampung suku Temiar di Gua Musang, Kelantan.

Membentangkan laporannya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Heller berkata kebanyakan komuniti Orang Asli yang dikunjunginya masih bergantung kepada sungai sebagai sumber air, sama ada diangkut menggunakan botol atau sistem yang disambungkan ke grid pusat dengan air yang terhad.

Selain itu, beliau mempersoalkan sejauh mana kemudahan air oleh kerajaan dan dikendalikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sana dapat dimanfaatkan penduduk.

"Kemudahan itu menggunakan teknologi canggih yang memerlukan latihan yang betul. Penduduk tiada latihan yang memadai untuk menggunakannya.

"Akibatnya saya lihat ia menjadi kemudahan yang tidak berfungsi dan dimanfaatkan, menyebabkan penduduk mendapatkan sumber air secara sendiri," katanya lagi.

Berhubung keadaan kebersihan komuniti Orang Asli pula, Heller menjawabnya dan persoalan: "Tanpa air, macam mana kita boleh guna tandas?"

Justeru, Heller berharap dapat melihat lebih banyak peruntukan diberikan untuk menaik taraf kemudahan air di perkampungan Orang Asli agar mereka tidak terus terpinggir.

Sebarang langkah penyelesaian terhadap masalah itu pula perlulah mampan dalam aspek operasi dan boleh digunakan secara berterusan, katanya lagi.