Anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kassim yang cedera parah dalam insiden rusuhan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman awal pagi Selasa, dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memaklumkan perkara itu pada sidang media 11.20 malam tadi.

"Doktor-doktor sudah bincang dengan pakar IJN dan sudah melihat keadaan mangsa. Mereka membuat keputusan untuk memindahkan Adib ke IJN malam ini.

"IJN ada satu peralatan, satu-satunya di Malaysia yang boleh memberi sedikit rawatan tambahan untuk memasukkan lebih oksigen dalam paru-parunya dengan harapan pemulihan yang lebih cepat," katanya selepas melawat Muhammad Adib di Pusat Perubatan Sime Darby.

Kenderaan ambulans IJN dilihat meninggalkan hospital berkenaan pada pukul 11.30 malam.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohammad Hamdan Wahid sebelum ini memaklumkan bahawa paru-paru Adib tertusuk tulang rusuknya.

Muhammad Adib, 24, berada di van bomba perubatan ketika perusuh membaling objek ke arah lori bomba dan van yang dinaikinya.

Beliau kemudian diheret keluar dan dipukul oleh perusuh. Rakan sekerja Muhammad Adib yang memandu van meninggalkan kawasan berkenaan tanpa menyedari situasi yang berlaku.

Muhammad Adib kemudian dibawa ke hospital oleh orang awam.