Rumah Selangorku tiada kuota Adun
Tidak ada kuota untuk anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam program perumahan mampu milik Rumah Selangorku.
Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha sebaliknya berkata cara pemilihan Rumah Selangorku dijalankan secara merit.
“Tak ada campur tangan manusia untuk memberi kepada pihak kroni dan sebagainya, semua mendapat layanan yang sama,” katanya ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Shaid Rosli (PH-Jeram) yang bertanya adakah permohonan Rumah Selangorku yang dibuat menerusi atas talian diberi kelonggaran kepada Adun dan penduduk kawasan tersebut.
Haniza yang merupakan Adun Lembah Jaya menjelaskan merit yang lebih tinggi akan diberi kepada sesetengah golongan bagi mendapatkan Rumah Selangorku.
“Merit lebih tinggi sekiranya kalau Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, ataupun pendapatan tanggungan ramai,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata, antara 2014 sehingga September tahun ini, sejumlah 204 projek rumah mampu milik membabitkan pembinaan sebanyak 104,460 unit kediaman sudah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Sejumlah 6,303 unit sudah disiapkan dan diserahkan kepada pembeli manakala sebanyak 22,336 lagi dalam proses pembinaan dan pemiliknya boleh berpindah masuk secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini sehingga 2022.
Amirudin berkata, bagi fasa seterusnya, kerajaan negeri meletakkan sasaran pembinaan 30,000 kediaman hingga 2023 dan beliau akan mengawasi perkembangannya.

