Tidak perlu sampai ke tahap mengisytiharkan perintah berkurung kerana kawasan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, Selangor, adalah terkawal, kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yasssin.

Malah katanya, dalam keadaan kini pun pihak polis dapat mengawal keadaan dengan menggerakkan lebih 1,400 Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke kawasan berkenaan.

“Dalam keadaan sekarang, kita dapat kawal keadaan... , tiap-tiap malam kita gerakan 1400 FRU di situ sahaja. Kita kena belanja besar, (tapi) tak apa bagi saya sekarang masih boleh terkawal.

“Kalau nak perintah berkurung, macam-macam perkara kita ambil kira. Rakyat tidak rasa bebas, tak boleh keluar malam, tak boleh beli-belah, perniagaan (akan) terjejas, banyak implikasi.

“Sebagai menteri, pandangan itu saya hormati tetapi kita di peringkat ini tidak fikir soal itu lagi," katanya pada sidang akhbar khas di Putrajaya, hari ini.

Semalam, bekas ketua polis negara, Musa Hassan dilaporkan berkata, untuk mengelakkan insiden yang sudah berlarutan beberapa malam itu dari menjadi tidak terkawal, perintah berkurung harus diisytiharkan.

Menurutnya, tindakan itu, ini bagi memastikan ketenteraman awam kembali wujud di kawasan berkenaan kerana perintah berkurung terbukti berkesan dalam menangani rusuhan tersebut.

Rusuhan tercetus pada awal pagi Isnin lalu dengan puluhan kenderaan musnah dibakar.

Sehari kemudian, cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan dan akibat rusuhan, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya berada di dalam keadaan kritikal.