Kerajaan Pakatan Harapan adalah terbuka dan sentiasa bersedia untuk memberi liputan media kepada mana-mana program yang dianjurkan kerajaan negeri Sarawak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bagaimanapun juga menggesa supaya kerajaan negeri Sarawak perlu bersifat terbuka dalam soal kebebasan dengan membenarkan wakil rakyat dan pemimpin PH untuk menghadiri program yang dianjurkan mereka.

“Kita lihat di negeri Sarawak ini, dia mengeluarkan beberapa circular (pekeliling) di mana tidak membenarkan wakil rakyat dari PH untuk hadir program mereka. Saya minta kepada Sarawak, kita kalau nak tanya pasal kebebasan ini, anda perlu cakap serupa bikin.

“Jangan setakat kita kata kami mesra PH , tetapi dalam masa yang sama tak membenarkan mana-mana wakil daripada luar Sarawak untuk hadir sebarang acara yang dianjurkan kerajaan negeri, kemudian itu datang sini (Parlimen) dan tanya saya berkaitan dasar kerajaan untuk bantu kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Nancy Shukri (PBB-Batang Sadong) yang bertanyakan mengenai dasar yang diamalkan Kementerian terhadap liputan media di Sarawak.

- Bernama