Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mempelawa lebih ramai tokoh politik termasuk daripada pihak pembangkang untuk berkongsi idea di universiti awam.

Ini, katanya, bagi merealisasikan dasar kementerian untuk menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka.

“Inilah dasar kita. Kita berharapkan lebih banyak lagi universiti awam dapat menganjurkan forum dan pidato melibatkan orang-orang politik tanpa ada sekatan.

“Mungkin selepas ini, kita harap lebih banyak lagi (tokoh) sama ada dari PAS dan Umno untuk turut hadir, (agar) kita buka ruang supaya pelajar mendengar perkongsian idea,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Galakan itu dibuat selepas beliau menyampaikan tahniah kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana menjemput presiden PAS Abdul Hadi Awang menyampaikan pidato di situ dua hari lepas.

“Sejarah telah tercipta, julung-julung kalinya seorang presiden parti pembangkang dibenarkan untuk menyampaikan pidato di UIA, sebuah universiti awam.

“Saya menegaskan di era Malaysia baru ini, kita ingin menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Dr Maszlee turut menyentuh semula isu pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti diumumkan timbalannya, Teo Nie Ching semalam di Dewan Rakyat.

Katanya, kabinet telah meluluskan usul bagi menaikkan takat gaji bagi penangguhan pembayaran pinjaman itu daripada RM1,000 kepada RM2,000.

Selain itu, pengecualian bayaran pinjaman bagi pelajar dengan kepujian kelas pertama turut diluaskan kepada golongan M40 (bergaji sederhana) daripada hanya melibatkan B40 (bergaji rendah) sebelum ini.

“Jika keadaan kewangan kerajaan pulih di masa hadapan, kita akan cuba tunaikan janji untuk menangguhkan pembayaran pinjaman mereka yang berpendapatan bawah RM4,000,” katanya.

Perubahan itu berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Lihat Komen
ADS