Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Firma guaman: Bukan peguam kami upah gangster
Diterbitkan:  Nov 28, 2018 6:17 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Firma guaman ternama Skrine - yang merupakan peguam kepada syarikat pemaju One City Development Bhd - menafikan pihaknya yang dirujuk Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berhubung tindakan mengupah gangster dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya.

Dalam kenyataan hari ini, Skrine berkata pihaknya sentiasa mengambil tindakan sebagai peguam kepada syarikat itu berdasarkan undang-undang.

"sementara Skrine pada masa ini mewakili syarikat pemaju dalam prosiding sivil melibatkan pemilikan tanah di mana kuil itu terletak, kami bukanlah peguam yang dirujuk menteri dalam negeri.

"Tiada peguam kami yang telah ditahan polis," kata syarikat itu.

Skrine berkata pihaknya juga tidak tahu-menahu tentang tindakan mengupah gangster untuk menceroboh kuil itu Isnin lalu dan mengecam sekeras-kerasnya perlakuan itu.

Dalam sidang media hari ini, Muhyiddin berkata siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju dan pemilik tanah berkenaan membayar RM150,000 kepada ketua kepada kumpulan 50 individu untuk menceroboh kuil itu Isnin lalu.

Difahamkan dua peguam yang mewakili One City Development Bhd antara 21 individu yang direman polis semalam.

Sementara itu, sebuah lagi firma guaman Messrs Thomas Philip turut menafikan pihaknya mewakili One City.

"Messrs Thomas Philip adalah peguam untuk rekod bagi One City berhubung kes nombor 21-353-1996 di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang telah selesai dengan perintah persetujuan bertarikh 11 Mac 2014.

"Pada 30 Disember 2015, sebuah firma guaman baru diarahkan oleh One City untuk mengambil alih semua perkara daripada perintah itu.

"Maka sudah tiga tahun kami tidak lagi mewakili One City," katanya dalam satu kenyataan berbeza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS