Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO ancam lapor SPRM isu jualan tanah bawah harga pasaran

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) mengancam melaporkan isu penjualan dua lot tanah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju yang didakwa dibuat bawah harga pasaran, kepada SPRM.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata, laporan itu berkaitan transaksi yang dibuat pada September 2017.

katanya, dua bidang tanah di Jalan Klang Lama itu bernilai RM80 juta mengikut harga pasaran namun ia dijual hanya pada kadar RM 15juta.

Ikhlas antara pihak yang tidak puas hati dengan penjualan itu sehingga peniaga di kawasan itu terpaksa berpindah.

Semalam Ridzuan membuat laporan polis berkaitan perkara itu di balai polis Petaling, Jalan Klang Lama.

Turut bersama dengannya iaitu seramai 20 peniaga yang membawa plakad “ SPRM siasat bekas Menteri Wilayah dan Datuk Bandar KL” dan “PM tolong bekukan transaksi penjualan tanah DBKL”.

“Kita minta polis buka kertas siasatan macam mana tanah itu dijual murah,” katanya.

Sementara itu Ridzuan berkata beliau akan menyampaikan memorandum bantahan mengenai pembelian tanah itu kepada pelbagai pihak terutama Kementerian Wilayah, DBKL, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan Kementerian Kerja Raya (KKR), esok.

Katanya, jika tidak ada maklum balas daripada pihak tersebut, Ikhlas akan membawa perkara itu kepada SPRM, minggu depan.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas DBKL dan syarikat terlibat.

Lihat Komen
ADS