Kekecohan kuil: Jumlah tangkapan meningkat kepada 30 individu
Polis memaklumkan sudah menahan 30 individu setakat ini yang disyaki terbabit dengan rusuhan di Kuil Sri Mahamariamman di Subang Jaya.
Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor sebahagian daripada mereka yang baru ditahan akan direman esok.
"Polis akan membuat beberapa lagi tangkapan berhubung kes itu dalam masa terdekat,' katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.
Semalam, polis telah mendapatkan perintah reman untuk 19 individu, termasuk tiga pekerja syarikat pemaju One City Development Bhd, susulan isu itu.
Katanya, polis akan terus meningkatkan kawalan di kawasan kuil itu dengan menempatkan 500 anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Beliau juga menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang perkara itu untuk terus menghubungi polis di talian 012-6009999.
Dalam pada itu, Mazlan berharap tiada spekulasi dibuat berhubung punca kecederaan parah yang dialami anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ia susulan sidang media oleh pihak kuil hari ini yang berkata Adib cedera akibat dilanggar jentera bomba, bukannya dipukul perusuh seperi yang dilaporkan sebelum ini.
"Siasatan masih berjalan dan ktia sedang mengambil keterangan semua saksi khususnya kes yang mendatangkan kecederaan terhadap anggota bomba.
"Saksi yang boleh bantu siasatan akan dipanggil untuk dirakam keterangan...biarlah kita jalankan siasatan dulu," katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan polis sedang mengambil keterangan peguam yang dikatakan terlibat dalam insiden kekecohan di kuil itu Isnin lalu, oleh sekumpulan 50 individu yang menurut Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin diupah oleh syarikat pemaju.

